Can't find what you're looking for? Try Google Search!

Khamis, 11 Februari 2010

Cara Menghadapi Tension

Sememangnya usaha manusia itu tidak dapat menentukan apa-apa. Lantas, persediaan apa yang perlu kita buat untuk menghilangkan tension ketika menghadapi pelbagai bentuk nasib malang yang pasti menimpa kita? Antaranya ialah:

1. Mengenali diri kita sebagai penerima nasib malang itu dan juga mengenali Tuhan sebagai pemberinya. Kita harus kenal bahawa diri kita adalah hamba ciptaan yang sangat lemah dan tidak ada apa-apa. Malah dalam penciptaan diri kita sendiri, kita tidak ada campurtangan, tidak ada tanam saham, langsung tidak ada memberi modal sama sekali. Keputusan untuk mencipta diri kita sendiri pun semuanya dibuat oleh Tuhan. Selain daripada seluruh badan kita yang begitu unik dan kompleks itu, Tuhan jugalah yang memberi kita daya usaha, fikiran dan perasaan. Lantaran itu, apabila Tuhan timpakan sesuatu kesusahan ke atas diri kita, inilah peluang untuk kita sedar bahawa diri kita adalah hamba yang lemah dan tidak punya apa-apa kuasa. Mungkin selama ini kita rasa berkuasa, rasa mampu dan rasa boleh, sehingga kita terlupa untuk bergantung dan berharap kepada Tuhan.

2. Setiap takdir Tuhan ke atas kita, selain kekufuran, semuanya mengandungi hikmah dan pengajaran. Antaranya ialah:

1. Kalau Tuhan sekali-sekala sakitkan kita, sudah tentu ada maksud yang baik dari Tuhan. Antara maksud-maksud baik Tuhan ialah Dia hendak hapuskan dosa kita, Dia mahu kita insaf di atas kelemahan diri kita, Dia mahu kita ingat-ingatkan kesalahan kita dan membaikinya serta bertaubat, Dia mahu kita rasai penderitaan orang lain agar kita menjadi orang yang lebih prihatin dan simpati. Dia juga mahu kita lebih bergantung dan berharap kepada-Nya.

2. Kalau Tuhan sekali-sekala miskinkan pula, tentu ada maksud pendidikan juga. Mungkin Dia mahu kita mendapat pahala sabar kerana miskin. Dia mahu kita rasai penderitaan orang miskin. Dan tentunya Dia mahu kita meneliti balik segala tindak-tanduk kita, apakah kita sudah melakukan apa-apa kesalahan dan kesilapan yang menyebabkan Tuhan tidak membantu kita.

3. Begitu juga apabila kita sekali-sekala dihinakan. Mungkin Tuhan mahu kita bertaubat kerana kita pernah menghina atau menzalimi orang lain ataupun Dia mahu kita ungkai rasa sombong yang bersarang di dalam hati kita. Atau Tuhan sengaja memberi kesusahan itu kerana Dia mahu mengangkat darjat kita di sisi-Nya.

4. Apabila berhadapan dengan ujian, waktu itu akan terserlah penyakit-penyakit hati yang masih bersarang di dalam hati kita, seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi. Penyakit hati ini mungkin tidak terkesan dalam suasana yang selesa tetapi ia akan terasa dan terserlah apabila hati kita tertekan. Penyakit-penyakit inilah yang membuatkan kita tension. Bila tension, barulah kita tahu kita siapa. Kalau sebelum ini nampak lemah lembut, bila tension kita boleh jadi marah-marah tak tentu pasal. Kalau selama ini nampak sabar sahaja, bila tension kita boleh bertindak di luar batasan. Pendek kata, segala sesuatu yang ditimpakan ke atas kita adalah untuk kebaikan diri kita. Dia mahu mendidik setiap kita agar kita kembali kepada-Nya sebagai hamba yang diredhai-Nya. Dengan ini, kita akan terselamat dari kemurkaan-Nya.

3. Hendaklah pandai menerima ketentuan dan takdir Tuhan secara positif supaya hati kita akan tenang dan kita juga akan mendapat hasil yang positif daripadanya. Sebaliknya, kalau kita menerimanya secara negatif, hati kita akan tertekan dan tension dan sudah tentu kita juga akan mendapat hasil yang negatif. Contohnya: Kita ditakdirkan mendapat anak-anak yang nakal. Setiap hari, ada sahaja kelakuannya yang sangat mengganggu kita. Kalau kita menerimanya secara positif, kita akan berkata kepada diri kita, Kerana dosa akulah anak-anak aku ni nakal. Allah buat seperti ini untuk membersihkan dosa-dosa aku yang lepas. Ataupun kita boleh berkata begini, Tuhan beri aku ujian ini untuk memberi aku pahala sabar. Kalau aku sabar, bukan sahaja aku akan dapat ganjaran di sisi Tuhan tetapi yang lebih penting, aku dapat mendekatkan diri kepada Tuhan.

Kalau beginilah penerimaan kita, tentulah kita tidak akan marah-marah atau berleter-leter, merotan dan menghukum anak di luar batasan atau mengamuk-ngamuk kepada suami kita pula. Sebaliknya, kita akan terus-menerus menasihatinya dengan baik dan mendoakan anak kita agar dia menjadi anak yang soleh satu hari nanti. Dan lazimnya, berkat baik sangkanya kita kepada Tuhan, anak itu akan menjadi anak yang baik apabila dia besar. Ini selaras dengan firman Tuhan yang maksudnya: Aku di atas sangkaan hamba-hamba- Ku ke atas-Ku.

Penerimaan yang negatif pula ialah kita akan merungut-rungut kerana nasib yang ditimpakan itu, kita akan bersikap marah-marah serta melepas geram dengan menghukum anak serta terbawa-bawa sikap marah itu kepada orang lain. Hati kita mungkin berkata, Kenapalah Tuhan berikan aku anak yang senakal ini, atau kita akan berkata, Tak guna dapat anak macam ni. Bukannya menyenangkan, menyusahkan saja. Akibat didikan yang kasar itu serta sangkaan-sangkaan yang buruk terhadap Tuhan, anak itu bila besar kelak akan menjadi anak yang tidak baik akhlaknya.

Tension yang kita hadapi bila anak itu kecil akan terus kita hadapi sehingga dia besar. Bukan sahaja anak yang rugi, kita juga akan turut rugi sama. Ini semua kerana buruk sangkanya kita dan tidak pandainya kita menerima takdir Tuhan. Lantaran itu, terimalah segala takdir Tuhan dengan sebaiknya. Anggaplah setiap takdir itu sebagai didikan terus dari Tuhan dengan penuh kasih sayang. Dengan sikap sebegini, hati tidak akan tension, kita dapat menambah rasa kehambaan serta dapat pula mengungkai sifat-sifat yang tidak baik dalam diri kita dengan lebih cepat. Malahan kita juga tidak akan mengakibatkan kesan tidak baik kepada orang di sekeliling kita.

10 Cara Bergaduh Dengan Adil

Perbalahan sentiasa berlaku. Tidak semua di antara kita sebagai manusia akan bersetuju dengan pendapat orang lain setiap masa. Orang lain juga pun takkan sentiasa setuju dengan pendapat kita. Namun demikian, dalam percintaan/perhubun gan, perbalahan boleh menjadi terlalu mengikut emosi, sampai ke tahap boleh melukakan hati pasangan.

1) Jangan Bersyarah
Dalam perhubungan yang matang,anda mesti menghormati pasangan anda dan juga diri sendiri sebagai orang dewasa. Bila anda mula bersyarah dengan panjang lebar kepada seseorang itu tentang kesalahannya, ini boleh mencetuskan perasaan yang amat tidak selesa dalam dirinya. Satu `kuasa' memberontak dan tidak puas hati terhadap anda boleh wujud hasil dari sikap tersebut. Oleh itu, selain dari bersikap "anda adalah betul" dalam situasi seperti ini, adalah lebih baik anda bercakap tentang bagaimana cara untuk membetulkan kesilapan yang telah berlaku. Fokus anda mesti kepada bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang timbul dan juga supaya perkara itu tidak berulang lagi.

2) Jangan Balas Dendam
Selalunya, bila hati seseorang itu benar-benar disakiti oleh pasangannya, dia juga akan bertindak balas untuk menyakiti hati pasangannya semula. Biar pasangannya rasa bersalah dan rasa apa yang dia rasa. Kononnya supaya pasangannya "sedar" bahawa kesalahan telah dilakukan. Pada masa itu, tindakan macam ni seolah-olah idea yang bagus, sebenarnya akan memalapkan lagi perhubungan. Jangan bertindak begitu. Bila anda salahkan pasangan anda tentang sesuatu perkara dan cuba buat dia rasa bersalah, anda mengatakan bahawa anda Betul dan dia Salah--hukuman telah dijatuhkan, susah nak selesaikan pergaduhan anda!

3) Jangan Tinggikan Suara
Bila emosi dan kemarahan menguasai diri, adalah sukar untuk mengawal suara lebih-lebih lagi bila pasangan anda sendiri meninggikan suara kepada anda. Walau apa pun, anda mesti ingat merendahkan nada suara dan bercakap dengan tenang dan tidak menengking amat penting bila berbincang dalam sesuatu konflik. Suasana tenang membolehkan anda dan pasangan mendengar dengan lebih baik apa yang diperkatakan terhadap satu sama lain. Konflik dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan tidak merebak dengan lebih teruk dan merosakkan.

4) Elakkan Terlalu Peribadi dan Sensitif
Masa situasi konflik tengah hangat, janganlah terlalu sangat "terasa", jangan terlalu sensitif atau "take it too personal". Keadaan yang tengah "panas" boleh buat anda terlepas cakap. Oleh itu pastikan anda tidak terlalu sensitif atas segala yang sedang diperkatakan kerana selalunya emosi lebih menguasai keadaan pada waktu ini. Oleh itu, kadangkala ada waktunya perkara betul yang pasangan anda katakan boleh menjadi perkara yang amat sensitif bagi anda dan anda pula boleh terlepas cakap atau sengaja "melepas" cakap tanpa berfikir panjang.

5) Jangan Timbulkan Perkara-perkara Kecil
Bila tengah bergaduh tu, jangan timbulkan perkara-perkara kecil yang langsung tak membantu selesaikan masalah. Perkara-perkara kecil yang dalam 2-3 hari akan datang tu dah boleh lupa contohnya la, tak perlulah diungkit. Fikir sebelum timbulkan benda-benda kecil macam ni sebab ia takkan membantu, membakar semangat marah dan terukkan lagi keadaan tu adalah. Benda-benda kecil ni termasuk la juga perkara yang dah lama terjadi dah...3-4 bulan lepas contohnya--jadi tumpu hanya pada isu yang sedang berlaku.

6) Mendengar Dengan Teliti
Walaupun susah nak dibuat, anda perlu jadi pendengar yang baik dan teliti. Pasangan anda mungkin dengan jelasnya beritahu apa yang anda berdua perlu untuk selesaikan masalah tapi disebabkan anda tak ambil perhatian, tak dengar dengan baik dan teliti, bukan saja cadangan dia anda tak ambil kira, malah anda pula bagi penyelesaian yang takde kena-mengena dan merumitkan keadaan.

7) Fokus Satu Isu Pada Satu Masa Seperti biasa yang anda mungkin dah banyak kali dengar...fokus! Perkara terbaik yang anda boleh buat ialah kenal pasti apa punca sebenar masalah dalam perhubungan anda sekarang dan cari penyelesaian untuk isu itu sahaja. Bila anda mula bercakap tentang banyak perkara, macam-macam isu, anda mengelirukan keadaan. Selesaikan satu persatu dan bergerak ke punca isu yang lain bila isu pertama selesai. Tentu sekali anda ingin tau apa cerita sebenar yang jadi punca mengeruhkan hubungan anda supaya masalah dapat selesai dengan cepat, jadi pastikan anda fokus!

8) Jangan Serang!
Biasalah, dah terlalu marah sangat, anda pun "naik angin"...bila perkara macam ni berlaku, biasanya anda boleh menyerang peribadi pasangan anda. Sebelum perkara macam ni berlaku, fikir dan sedar bahawa ia TAKKAN membantu malah memburukkan keadaan. Anda ingin selesaikan masalah, bukan nak serang pasangan anda.

9) Mesti Hormat
Perbalahan/pertelin gkahan dalam perhubungan boleh menjadikan sesuatu perhubungan itu lebih matang dan lebih rapat malah lebih indah setelah konflik dan isu berakhir dengan baik. Nak jadi macam ni, anda perlu faham perbalahan perlu di lihat dalam konteks "learning experience" atau proses belajar selain melihatnya dari satu sudut saja. Beri perhatian, sabar, tenang, buat "eye contact", tanya soalan yang relevan dan diperlukan dalam masa yang sesuai. Ini adalah antara cara utama untuk menunjukkan sikap hormat kepada pasangan anda. Bersama dengan sikap seperti ini anda berdua PASTI boleh menyelesaikan segala masalah yang melanda.

10) Jangan Tinggalkan
Satu lagi perkara yang sukar dibuat bila bergaduh ialah berada tetap dalam tempoh konflik itu sedang berlaku dari mula sampai selesai. Ramai orang bila dah tak tahan, marah sangat, terus tinggalkan
pasangan, bermaksud terus keluar dari "medan" konflik atau pertelingkahan sekaligus membiarkan situasi "tergantung" macam tu je. Pasangan pun dia tinggalkan sorang. Okay, walaupun rasa tak boleh tahan sangat, marah ke, "tension" ke, jangan angkat kaki, tinggalkan konflik dan pasangan macam tu je. Bagi tau dia anda perlukan masa sekejap untuk tenangkan fikiran sebentar, mungkin anda pergi duduk tempat lain kejap ke...kemudian pastikan anda datang semula. Ini secara tidak langsung menunjukkan anda seorang yang berkaliber dan dapat mengurus emosi dengan baik tak kiralah anda lelaki atau wanita.

Hargai Anak Anda

1. Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri.. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).

2. Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk)

3. Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)

4. Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya) .

5. Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.

6. Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).

7. Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah anda mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

8. Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tidak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)

9. Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya.

10. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

11. Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya...Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak-anak yang datang daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).

12. Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.

13. Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.

14. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka..

15. Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

16. Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam.

17. Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibu bapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.

18. Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

19. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri...

20. Anak-anak juga mempunyai perasaan seperti anda.

Mendidik Anak Untuk Hari Tua Atau Untuk Tuhan?

Bagi kebanyakan manusia, termasuk orang Melayu,anak- anak yang masih kecil dianggap sebagai cahaya mata, belahan hati, penawar jiwa, intan payung dan macam-macam lagi. Sangat disayang dan dimanjakan.Apabila besar sikit, disediakan anak-anak itu untuk menghadapi tuntutan hidup.

Diberi pelajaran dan kemahiran setinggi-tingginya supaya apabila besar nanti dapat kerja, dapat jawatan dan dapat gaji lumayan. Mereka rasakan itulah tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Mereka mahukan anak-anak mereka berjaya dan senang dalam hidup. Kadang-kadang terselit juga di hati ibu ayah, kalau-kalau anak-anak sudah besar dan berjaya, maka akan senanglah hidup ibu ayah. Anak-anak akan membantu dan membela mereka. Anak-anaklah menjadi tempat mereka bergantung apabila tua kelak.

Anak-anaklah yang menjamin masa depan mereka. Mereka bersandar kepada anak-anak mereka untuk hari tua. Memang anak-anak patut membela dan berkhidmat kepada ibu ayah setelah mereka tua. Ini tuntutan fitrah. Ini juga tuntutan agama. Tuhan pun memang hendak begitu. Tetapi patutkah ibu ayah mendidik anak-anak untuk tujuan ini semata-mata.

Patutkah ibu ayah mendidik anak-anak untuk kepentingan diri mereka sendiri? Patutkah anak-anak itu dianggap sebagai satu pelaburan untuk kebaikan dan kesenangan masa depan ibu ayah? Kalau begitu, anak-anak tidak ubah sebagai haiwan ternakan. Dibela, diternak supaya akan dapat merasakan untung dan hasilnya satu hari nanti. Kalau begitu mendidik anak tak ubah seperti satu usaha komersial atau satu penanaman modal atau satu kegiatan ekonomi.
Konsep ini perlu dikikis dan dibuang jauh-jauh. Ia tersimpang dari kehendak agama dan kehendak Tuhan. Anak-anak itu adalah amanah Tuhan. Mereka perlu dididik untuk Tuhan.Mereka perlu dididik untuk mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan.Mereka perlu dididik supaya menjadi hamba Tuhan selepas itu menjadi khalifah Tuhan dimuka bumi.

Mereka perlu dididik untuk mengabdi diri kepada Tuhan dan menjadikan cinta agung mereka. Mereka perlu dididik supaya menjadi orang yang beriman dan bertaqwa yang hidup mati mereka hanyalah untuk Tuhan. Anak-anak itu anugerah Tuhan. Oleh itu, kenalah didik mereka untuk Tuhan. Kalau ini dilakukan, barulah anak-anak itu akan menjadi orang-orang soleh yang berakhlak dan berjasa. Orang yang beriman dan bertaqwa sudah tentu akan berkhidmat kepada Tuhannya dan sesama manusia, lebih-lebih lagilah kepada kedua-dua ibu dan ayah mereka. Soal anak-anak menjaga dan membela ibu ayah mereka akan terjadi dengan sendiri setelah anak-anak itu menjadi hamba-hamba yang beriman dan bertaqwa.
Apabila anak-anak dididik hanya untuk mengejar dunia dan tidak untuk mengenal, mencintai dan takut dengan Tuhan, maka dunialah yang akan menjadi matlamat hidup mereka. Keinsanan mereka tidak akan terbina, nafsu mereka akan menjadi rakus dan segala sifat-sifat mazmumah yang keji seperti tamak, haloba, hasad, dengki, bakhil, pemarah dan lain-lain yang bersarang dihati mereka. Mereka tidak akan mempedulikan halal atau haram, hak atau batil, benar atau salah, adil atau zalim, manusia ataupun Tuhan.

Kalau Tuhan pun mereka tidak pedulikan, apakah harapan mereka memperdulikan ibu ayah mereka, jauh sekali untuk membela dan berkhidmat kepada mereka. Ibu ayah akan menjadi penghalang untuk mereka mengejar dunia mereka. Mereka akhirnya derhaka kepada ibu dan ayah. Di Akhirat nanti anak-anak ini akan menjadi orang yang muflis. Mereka akan menentang dan menjadi seteru kepada ibu ayah mereka.Mereka akan menuntut hak yang tidak diberikan kepada mereka.

Mereka akan menyalahkan ibu ayah mereka kerana tidak mendidik mereka untuk Tuhan. Ibu dan ayah yang tidak mendidik anak-anak mereka untuk Tuhan pasti akan rugi di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat. Di Akhirat nanti anak yang mereka sayang itu akan bertukar menjadi musuh. Kalau anak-anak dididik untuk Tuhan hingga mereka menjadi orang-orang yang beriman dan bertaqwa mereka akan menjadi aset kepada kedua ibu ayah mereka.
Mereka akan menjadi aset di dunia dan aset di Akhirat. Di dunia mereka akan berkhidmat dan membela kedua ibu ayah mereka. Apabila mati kedua ibu dan ayah, anak seperti ini akan mendoakan mereka. Doa mereka tidak terhijab. Ibu dan ayah juga kan terus mendapat pahala yang mengalir ke dalam kubur hasil dari amalan soleh yang dibuat oleh anak mereka di dunia berkat dididkan dan ilmu yang telah mereka curahkan kepada anak mereka itu. Hadis ada menyebut: " Bila mati anak Adam, akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah yang dibuatnya, ilmu yang bermenafaat yang diajarnya dan anaknya yang soleh."

Kita harus ingat bahawa anak kita itu adalah hamba Tuhan. Tuhan lebih berhak ke atasnya daripada kita. Hanya Tuhan mengamanahkan dia kepada kita. Oleh itu, kita perlu didik dia untuk Tuhan, bukan untuk kita. Anak kita hanya anak kita sementara di dunia. Di Akhirat, dia bukan anak kita lagi. Di Akhirat, anak tak peduli ayah, anak tak peduli ibu. Ibu ayah juga tak pedulikan anak. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Setakat mana kita mampu mendidik anak-anak kita untuk Tuhan, setakat itulah manfaatnya untuk diri kita.

Sebab-sebab Isteri Menjadi Cepat Tua dan Tak Cantik!

Ada segelintir kaum suami mudah mencari perempuan lain kerana menganggap isteri mereka sudah tidak cantik, nampak tua, gemuk... Tapi tahukan anda semua wahai kaum suami sebab-sebab yang menjadikan para wanita khususnya isteri dan ibu cepat nampak tidak menarik di mata anda?

1. Tahukah anda, jika kita makan dengan perlahan dan mengunyah makanan sehingga benar-benar hancur, itu akan membantu proses penghadaman kita, sekaligus mengelakkan kita gemuk.. tetapi kasihan kaum ibu ni, terpaksa makan laju-laju, telan terus tanpa sempat dikunyah kerana nak memujuk anaknya yang menangis. Tapi si suami.. layan jer sambung makan, buat-buat tak dengar anaknya menangis. So, wanita pun mudah jadi gemuk sebab makanan tak sempat nak hadam betul-betul.

2. Wanita juga mudah gemuk kerana sifat mereka yang tidak suka membazir. Makanan yang tidak habis dimakan oleh anaknya, maka dialah yang akan menghabiskannya pulak. Sayang katanya... takut membazir. Membazir tu kan amalan syaitan. Si suami pulak dengan riaknya mengatakan "kau ni kuat betul makan!"

3. Bila anak menangis tengah malam nak minum susu, bapaknya akan tidur mati terus. Kalau yang dengar pun buat-buat tidur lena sebab malas nak bangun, malas nak ganggu tidurnya. Wanita lah yang dalam semalam, berapa puluh kali terpaksa bangun membuat susu untuk anak. Bila tak cukup tidur, mulalah muka nampak letih dan cepat nampak tua. Kedut-kedut pun mula wujud. Masa tu guna Total Effect ke, ape ke... takkan nak hilangnya. Petua untuk cantik kan ada dua yang penting, minum air banyak & TIDUR SECUKUPNYA.

4. Dan bagi wanita yang berkerjaya, sudahlah penat bekerja untuk membantu menambah pendapatan keluarga, bila balik rumah, semuanya dialah yang kena uruskan. Dengan perangai anak-anak, perangai bapaknya... nak itu, nak ini.. So, wanita pun membebel, marah-marah... dan bila marah-marah, banyak leter, so cepatlah jadi tua..

Kesimpulannya. ..wanita cepat tua dan cepat gemuk adalah disebabkan LELAKI atau lebih tepat lagi SUAMI.. Oleh itu, hargailah segala pengorbanan isteri anda. Mungkin sekiranya sehari sahaja isteri anda tiada, dan anda perlu memikul tanggungjawab dia sementara, anda mungkin tidak mampu melakukan seperti dia..

Tips Kesihatan

Jawab telefon dengan menggunakan telinga KIRI

Minum kopi SEKALI sahaja sehari

Jangan makan ubat dengan air SEJUK @ AIS

Jangan makan BANYAK selepas jam 5 petang

Kurangkan MINYAK dalam makanan

Minum banyak AIR di waktu pagi dan kurang di waktu malam

Jauhkan diri dari CHARGER handphone

Jangan guna headphones/earphone TERLALU LAMA

Waktu terbaik untuk TIDUR adalah antara pukul 10 malam dan 6 pagi

Jangan terus BERBARING sebaik sahaja makan ubat.

Apabila bateri handphone tinggal bar yang terakhir, JANGAN gunakan handphone kerana keaktifan radioaktif adalah 1000 kali ganda

Tips Menghangatkan Kasih Sayang

DALAM perkahwinan, keintiman antara pasangan adalah perkara asas dalam membentuk keharmonian rumah tangga. Keintiman akan hadir jika kita sama-sama saling mengambil berat dan bertolak ansur antara satu sama lain. Lantas, ia membina kekuatan dan keteguhan dalam sesebuah ikatan perkahwinan. Selain itu, kepercayaan memainkan peranan penting dalam sesebuah ikatan perkahwinan. Isteri haruslah mempercayai tentang kebolehan dan usaha pasangan dalam melakukan sesuatu perkara serta jangan menolak pandangan pasangan jika ada rasionalnya. Biarpun anda dan pasangan masing-masing sibuk dengan tugasan, namun cubalah mencuri masa untuk bersemuka. Setidak-tidaknya berilah masa selama 20 minit untuk bersembang dengannya. Cara ini membolehkan anda memahami perasaan dan hati budi masing-masing. Di sini terdapat 15 tip mudah untuk menyatakan "Aku cinta padamu" untuk tujuan mengeratkan lagi hubungan suami isteri walaupun dalam keadaan yang sibuk.

1. Belai pasangan anda dengan ciuman manja sebagai tanda penghargaan diri anda kepada dirinya, malah senyuman juga memain peranan penting dalam meneruskan perjalanan awal untuk mencipta hubungan antara pasangan. Biarkan mata anda berkelip-kelip manja sebagai tanda anda terlalu merindui dirinya.

2. Hangatkan hubungan cinta anda dengan si dia dengan memberi kejutan ciuman di lehernya semasa si dia membuat kerja-kerja di meja komputer ketika sedang berehat di rumah.

3. Sesekali ketika bersantai di rumah bersama si dia, apa salahnya, berikan urutan kepadanya, lagipun bukan untuk orang lain tetapi kepada insan yang kita disayangi. Berikan ciuman romantik atau tunjukkan mesej melalui isyarat badan terhadap si dia. Pada ketika itu berbual bersama-sama. Biarpun masing-masing sibuk dengan tugasan, cubalah mencuri masa untuk bersemuka dengan berkongsi cerita bersama. Cara ini membolehkan anda memahami perasaan dan hati budi si dia .

4. Walaupun telah berkahwin dan memiliki anak, tidak salah untuk menyatakan ucapan cinta dan sesekali apa salahnya tinggalkan pesanan ringkas pada si dia, mungkin ia boleh mengimbau kembali zaman percintaan anda suatu ketika dulu.

5. Luahkan kata-kata cinta anda kepada si dia untuk menghangat keintiman hubungan anda.

6. Buktikan kasih sayang anda kepada si dia, tulislah surat dengan menyatakan anda berbangga dengan pencapaian dirinya. Ini kerana kebanyakan lelaki gemarkan pujian daripada seseorang lebih-lebih lagi daripada isterinya. Atau anda boleh menulis kepadanya menyatakan sesuatu tentang kelebihan dirinya. Letakkan ayat-ayat 'cinta ' itu di dalam dompet tangan atau beg kerja untuk memberi kejutan pada dirinya.

7. Buktikan perasaan cinta anda pada si dia, berikan dia satu ciuman romantik diikuti dengan pelukan sebagai tanda penghargaan diri. Setiap pasangan sentiasa inginkan dirinya dibelai dan disayangi.

8. Usah malu dengan si dia, peluklah si dia dengan pelukan erat, luahkan kata-kata cinta kepadanya dan berikan ciuman romantik untuknya.

9. Kebanyakan lelaki gemarkan pujian daripada seseorang, lebih-lebih lagi daripada isterinya. Sambil itu si isteri bolehlah menepuk bahu si suami sebagai tanda memuji kehebatan dirinya.

10. Luahkan pada pasangan anda, bahawa anda bangga dengan kehebatan si dia, tunjukkan rasa hormat anda terhadap si dia agar ikatan percintaan menjadi lebih intim. Sebagai contoh, anda mungkin berkata, ''Anda seorang yang hebat'' atau "Saya sungguh menghargai bagaimana susahnya kerja dalam memberi kesempurnaan kepada keluarga kita"..

11. Apabila membeli barang, belikan sesuatu kepada si dia sebagai tanda anda mencintai dirinya.


12. Dapatkan persetujuan bersama ketika membuat keputusan bersama si dia. Kadang-kadang si dia akan berasa marah dan tidak suka sikap si isteri cuba menukar sesuatu jadual mahupun kehendaknya. Ini boleh membangkitkan kemarahan si dia, dalam hal ini si isteri perlu bersabar dengan kemahuan si dia.

13. Isteri haruslah menunjukkan rasa hormat terhadap suami, jangan sesekali melakukan perkara-perkara negatif, ketika membeli-belah contohnya, cuba dapatkan pandangannya. Contohnya ketika membeli kad ucapan untuk kad hari jadi, cubalah minta pandangan si dia untuk membuat pilihan. Hal ini akan membuatkan si dia merasakan dia mempunyai hak terhadap diri anda.


14. Ketika masa lapang, gunakan bahan-bahan terbuang untuk melukis bentuk dua keping hati disambungkan bersama dengan nama-nama anda pada hati itu dan menulis "aku cinta padamu" terhadap si dia.

15. Cuba hasilkan sajak-sajak cinta kepada si dia untuk menyatakan isi hati anda.